Saturday, November 18, 2017

seketika bergelar pekerja

Post hari itu nisak ada kata nak cerita tentang kerja sebelum ini dan kenapa berhenti kan. Oke bermula Januari 2016 nisak start kerja di butik pengantin ini. Tak butik sangat lah sebab kakak owner tu nisak panggil Kak Rina, buat based dari rumah sahaja. Selama hampir setahun lima bulan juga nisak kerja. Terlalu banyak yang nisak belajar. Bukan setakat berkaitan pelamin sahaja tetapi juga tentang kehidupan. 

Mula-mula dulu niat nak kerja sebulan dua bulan macam itu sahaja sebab nisak kerja pun hanya nak bawa diri, nak move on dan bangkit kembali setelah beberapa bulan bagai zombie. Nisak tengah kecewa masa itu, putus cinta. Ya Allah kalau ingat balik sakitnya masa itu hanya Allah yang tahu. Sebab itu nisak cuba nak kerja untuk sibuk kan diri. Walaupun masa itu ibu macam tak setuju nisak nak kerja sebab tempat itu di kulim tempat zaman bercinta masa di poli dulu dan ibu ingat nisak nak pergi sana dekat dengan tempat dia jadi boleh cari dia balik. 

Tetapi sungguh pergi kerja kulim masa itu memang bukan sebab dia. Hanya sebab nisak nak cuba untuk bangkit nisak tak boleh duduk rumah yang ada banyak masa untuk teringatkan dia lagipun cari kerja lain tak dapat jadi kerja yang itu saja yang diterima dan memang minat jadi nisak teruskan niat. Itu pun nasib Kak Rina sedia tempat tinggal kalau tidak memang tak boleh juga kerja sebab nisak tak ada transport.

Pendekkan cerita, apa yang nisak cuba nak sampaikan adalah apa yang nisak belajar selama nisak kat sana. Sebenar bukan nak cerita tentang pelamin sangat tetapi lebih kepada cerita tentang hidup. Bagaimana nisak belajar menjadi seorang yang lebih kuat dan berdikari. 

Kenal dengan keluarga Kak Rina benar-benar membuka mata nisak bahawa hidup ini tidak semua orang bertuah, tidak semua mampu dapat apa yang diinginkan. Apa yang selama ini nisak hanya dengar dan tengok dari berita, drama atau filem sahaja. Tetapi kali ini nisak rasa sendiri, alami dan lalui semuanya. Bahawa ada insan yang tidak bernasib baik seperti kita. Berapa banyak kesusahan telah dilalui dan benar-benar membuatkan nisak bersyukur dengan apa yang nisak ada. Banyak, terlalu banyak yang nisak belajar selama berada di sana. Banyak juga air mata yang jatuh dalam tempoh waktu itu. Beberapa kali juga nisak jatuh tersungkur. Juga ada satu waktu, perkara yang paling terkesan pada nisak masa itu bagaimana suatu saat kita meletakkan sepenuh harapan hanya kepada Allah. Kebergantungan kita hanya pada Allah yang orang lain pun memang tak dapat bantu masa itu. Betapa bersyukurnya dan terharu bila Allah jawab doa-doa masa itu. Benarlah bahawa sujud dan doa yang kita minta pada tengah malam itu seperti panah yang menepati sasaran. Subhanallah. 

Selain itu, sebab kerja ini juga nisak yang dari bawa kereta auto hingga van manual pun dah boleh bawa merata-rata. Penang, alor setar itu semua biasa dah. Daripada seorang nisak yang ayu (orang kata) sekarang tak berapa ayu dah. :P Bermula di sana juga nisak merasa pergi keluar sendiri macam yang pernah nisak angankan.(terpengaruh dengan drama) Duduk rumah sewa boleh keluar ikut masa sendiri walaupun pakai kereta orang saja. Ibu ayah pun perlahan-lahan dah harap dan melepaskan anak dara ini kalau nak drive jauh-jauh. Tetapi yang sedihnya selalu keluar sendiri saja sebab tak ada kawan perempuan yang kerja sekali masa awal-awal tu.

Benda yang paling syok kerja ni bila pergi pasang pelamin lagi-lagi yang jauh. Tambahan Kak Rina ni cover dari taiping sampai perlis. Jadi memang selalu pergi sampai Alor Setar, Perlis. Nisak memang suka kalau bab berjalan ni. Tetapi kerja ni penat tu tak payah cakap lah tambah-tambah bila waktu cuti sekolah non stop kerja. Buat kerja sampai ke 3,4 pagi pun nisak pernah tau. Bab pelamin pula berapa ratus dah yang nisak pernah pasang. Jumpa macam-macam jenis orang tu tak payah cakap. Tetapi nisak ok saja bab ini sebab memang jenis sabar. Eh, terpuji diri sendiri pula.:P

Menangis-nangis pasang seorang pun pernah. Sebenarnya sayang nak berhenti. Oke baru nak masuk point kenapa berhenti tetapi kenapa dan sebab apa yang jelas nisak berhenti nisak tak mahu cerita di sini. Mungkin memang dah sampai masa untuk nisak mengundur diri. Sebenar niat nak berhenti tu dah beberapa kali tertangguh sebab sayang nak lepaskan dan kesian pada Kak Rina. Tetapi sampai masa keputusan dah dibuat nisak letakkan jawatan juga akhirnya dan Alhamdulillah sekarang nisak tengah usahakan yang sendiri pula. Doakan nisak tau.

Nisak pernah rasa nak salahkan seseorang atas segala kesakitan yang nisak lalui masa di sana dan hingga saat ini. Tetapi nisak cepat-cepat betulkan hati bahawa segalanya adalah ketentuan Tuhan atau mungkin atas sebab dosa-dosa sendiri. Bila nisak fikir balik cukup indah percaturan Allah itu. Kalau tak kerana heartbroken haritu mungkin nisak bukan yang seperti hari ini. Namun banyak lagi nisak perlu tempuh baru cuba untuk mendaki dan berjaya macam orang lain. Dan juga ada cerita dari sana yang masih panjang. Andai segalanya berjalan seperti yang dirancang nanti nisak akan cerita sambungannya. Mungkin pada orang lain tak ada apa yang istimewa pun dan mungkin orang lain ada pengalaman yang lebih hebat dengan kerja yang lebih besar tetapi pada nisak semua ini cukup bermakna.

Jawapan dari Allah



Bismillah.



Alhamdulillah Subhanallah. Betapa Allah mendengar setiap keluh kesah kita. Sungguh cinta ini mengajar aku untuk sentiasa berharap hanya kepada Dia. Setiap kali aku merasakan rindu yang teramat sangat setiap kali itu Allah pasti hadirkan jawapanNya. Esoknya pasti akan muncul sesuatu buat pengubat rindu dan resah walaupun seketika. Terima kasih Allah. Izinkan cinta ini terus mekar dan subur bersama kekuatan yang terus dilakar.

nisakazhari, november tujuh belas




Kisah konvo

Seperti yang kita tahu, bulan 10 dan 11 ialah musim konvokesyen bagi kebanyakan ipta dan ipts di seluruh negara. Musim konvo orang panggil. Seronok nisak tengok gambar adik-adik yang berkonvo bersama jambangan bunga dan teddy bear yang bermacam-macam jenis. Teringat kisah konvo nisak lima tahun yang lalu. MashaAllah baru sedar dah lima tahun tinggalkan zaman belajar. Begitu cepat masa berlalu, usia pun semakin menua. Kisah konvo nisak ini bukanlah menarik mana pun cuma ada satu benda yang nisak akan ingat sampai bila-bila. Masa ni biasanya orang lain paling kurang akan dapat satu jambangan bunga bersama bear yang comel. Dan itu yang membuatkan nisak ada merasa sedikit cemburu yang terbit dalam hati. Bukan tak ada yang beri cuma sedikit berbeza bila nisak dapat yang ibu buat. Yang hanya dari daun-daun dan bunga di rumah sahaja. Sejujurnya nisak malu masa tu sebab orang lain dapat semua yang cantik dan kemas tersusun. Tetapi hanya dalam hati dan nisak tetap meraikan pemberian ibu. Cuma terkilan mengapa boleh terlintas begitu. Ya mungkin masa itu mata masih buta untuk menilai. Tidak menghargai susah dan gigih juga ibu buat sesuatu untuk beri pada diri ini. Waktu itu nak beli yang orang jual tu rasa mahal lebih memerlukan duit untuk benda lain. Itu pun ibu ayah datang juga tengok anak mereka ini naik pentas. Terima kasih ibu dan ayah. Sungguh andai diberi segala isi dunia ini belum mampu untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka. Maafkan nisak kerana pernah membuat ibu dan ayah terluka. Maafkan nisak andai tidak menjadi anak yang terbaik. Sungguh tiada anak di dunia ini yang tidak menyanyangi ibu bapa mereka begitu juga sebaliknya.


Inilah flower bouquet dengan teddy bear kecil yang ibu buat. Kerana menghargai pemberian ibu nisak tetap ambil gambar sebagai kenangan. 😊 
Semoga kita selalu bersyukur dengan apa yang kita ada walau tidak seperti orang lain.

Friday, November 3, 2017

Sakit merindu

Kerana rindu ini rindu yang berbeda.

Tidak sama seperti rindu kamu dan kamu.

Rindu ini rindu yang tidak bisa dilafazkan.

Yang hanya bisa disampaikan pada tuhan.

Rindu ini sakitnya lebih dalam yang tidak bisa kau hapuskan air mata.

Malah rindu ini rindu yang tidak akan pernah bisa terubat kerana tiada lagi jasad yang mampu ditatap.

Rindu ini rindu yang tidak akan pernah kau mengerti andai tidak pernah kau rasai.

Sungguh aku sakit merindu. Kamu.

nisakazhari, november tiga
2249

Tuesday, October 10, 2017

Setahun yang lalu



Mana mungkin boleh lupa peristiwa setahun yang lalu. Waktu yang benar-benar aku lemah tak berdaya menerima perkhabaran yang membuatkan aku jatuh terduduk. Hidup bagai mayat yang bernyawa. Sungguh aku bangun saat itu hanya kerana Allah dan iman. Selama dua bulan aku jalani hidup dalam penantian yang tiada kepastian hanya berserah sepenuhnya pada Allah. Sungguh terlalu banyak yang aku belajar terutama dalam menjadi seorang wanita yang kuat dan tabah.

Kini aku mengerti bahawa apa yang telah terjadi itu benar-benar punya hikmahnya. Dan kerana peristiwa itu aku kuat hari ini menjalani hari-hari yang serupa seperti dulu cuma bezanya kali ini dengan redha. Redha aku, keluarga dan paling penting redha Tuhan. Sungguh aku berserah sepenuhnya hanya pada Allah. Semoga detik indah akan tiba jua nanti dan moga diberi kekuatan untuk hadapi semua ini. Jika bukan kerana keyakinan kepada Allah mana mungkin aku melepaskan dia pergi lagi kali ini. 

nisakazhari, oktober sebelas
0025

Friday, September 15, 2017

Cukup hanya Allah

Bismillah.

Ada orang kata pada nisak. Sikit-sikit sedih. Mungkin ada yang tidak suka. Maaf andai selalu membawa perasaan yang negatif. Memang selalunya bila sedih nisak akan update kata-kata yang sedih pada status whatsapp, instagram atau ig story. Sekadar meluahkan sedikit rasa. Tetapi bila orang tanya, nisak selalu elak untuk cerita sejelasnya. Kerana orang lain tidak akan mengerti apa yang sedang nisak lalui. Cerita pun orang tak akan faham kerana kisah ini terlalu banyak yang harus ditelan daripada diluahkan. Sungguh terkadang penat dengan setiap liku-liku yang harus dijalani ini. Namun jalan ini sendiri yang pilih. Prinsip yang harus dipegang, 'Aku dah mulakan jadi aku kena habiskan' . Cukuplah hanya Allah. Yakinlah bila kita ada Allah segalanya akan baik-baik saja.

nisakazhari, september lima belas 
2359

Saturday, August 19, 2017

puisi tiga





Di bawah redup sayu itu

Segala yang tersingkap dizahirkan
Habis segala sendu dilepaskan
Meski pahit itu dimuntahkan
Namun tak mungkin diendahkan

Kerana rasa itu hanya sendiri yang rasa
Mengutip baki kekuatan yang tersisa

Untuk terus bangkit berdiri 

Tidak mahu jatuh itu terus di situ
Takut nanti mati terkaku
Dibunuh sebuah rasa yang menganggu

disember tiga belas,
dua kosong satu lima

Thursday, July 13, 2017

cerpen satu - drama di lapangan terbang

          Pagi ini awal aku keluar meminta kakak dan abang ipar ku menghantar aku di stesen KTM Batu Tiga sebelum mereka ke pejabat. Dari situ aku terus naik komuter ke KL Sentral. Menunggu hampir lima jam di KL Sentral seorang diri sebelum menaiki bas ke KLIA 2. Sungguh aku nekad kali ini untuk berjumpa Mr A.

          Hampir dua minggu aku memikirkan cara bagaimana untuk aku berjumpa dia. Kalau nak ajak dia sah sah dia tidak akan bersetuju. Teringat dia akan ke Melbourne untuk urusan study terus dapat idea untuk datang ke KLIA 2 ini. Tanpa pengalaman ke KLIA menaiki pengangkutan awam, entah dari mana keberanian itu datang untuk menaiki bas seorang diri ke sana. Beberapa hari sebelum ini dah puas aku merujuk google cara untuk ke KLIA dari KL Sentral. Memandangkan dalam dompetku hanya ada sekeping note RM50 dan sekeping note RM20 yang tinggal untuk aku pulang ke kampung terpaksa memilih bas, tambang yang paling murah sebagai cara untuk ke sana.

          Lebih kurang jam dua petang tiba di KLIA. Aku pusing-pusing tanpa hala tuju sedang dalam hati mula rasa debaran. Menjamah makanan pun aku tidak lalu. Bermula dari KL Sentral lagi ada beberapa orang yang bertanya aku ingin ke mana. Mungkin hairan barangkali kerana aku sendirian dan hanya membawa beg kecil.

          Mr. A langsung tidak tahu akan kedatangan aku di sini. Aku cuma dapat tahu tarikh dia akan pergi sahaja. Waktu dia tiba KLIA dan waktu berlepas semua aku tidak tahu cuma ada mendapatkan sedikit maklumat dari seorang sahabat Mr. A yang sama-sama akan ke Melbourne hari ini itu pun sekadar melalui messenger FB. Setelah habis satu KLIA aku pusing dan waktu sudah hampir jam lima, hati mula risau dan gundah berkira-kira untuk bertanya sahabat Mr. A adakah mereka sudah sampai atau belum. Aku menaip mesej,

"Dah sampai ke?"

Ding! Mesej berbalas,

"Dah tapi flight jam 9.30pm" 

"Owh ok. Sekarang ada di mana?" aku meminta kepastian.

"Dekat dengan Baskin Robbins" hati aku mula rasa debaran yang amat sangat. Bermacam-macam perkara yang terlintas di fikiran. Dia akan marah tak, bagaimana reaksi dia nanti dan sebagainya.

        Aku yang memang berada di sekitar situ mula mencari-cari kelibat mereka yang dikatakan telah menunggu lama di satu laluan berhampiran. Mereka yang agak ramai membuatkan aku segan untuk menyapa lalu meminta sahabatnya menyuruh dia keluar dari laluan tersebut. Sungguh waktu ini aku benar-benar gundah. Debaran semakin laju.

          Setelah dua tahun kami tidak bertemu. Mr. A kini berada di hadapan mata aku. Orang yang aku sayang, orang yang aku terlalu rindu. Namun dia juga orang yang telah melukakan hati ini. Berdiri dia di hadapan aku ini bukan untuk melepaskan rindu, bukan juga untuk rasa bahagia. Namun cuma untuk aku memuaskan hati ini mendengar sendiri kata putus yang telah dia hantar melalui whatsapp dua minggu yang lalu sebelum aku di block.

          Sungguh apa-apa pun keputusan dia hari ini aku cuba untuk terima. Pada awalnya masing-masing terasa janggal seolah kali pertama berjumpa dan dia sungguh terkejut pastinya. Aku menghulurkan bungkusan yang terisi biskut Shortbread kegemaran dia sebagai hadiah hari lahirnya yang baru berlalu. Bertungkus lumus aku buat semalam cuba buat cara yang paling mudah. Dua kali juga mencuba kerana tidak menjadi. Semuanya untuk dia. Kerana di satu sudut dalam hati ini aku masih berharap ada sinar harapan hari ini.

          Pada awalnya kami seperti biasa bertanya khabar dan dia memperkenalkan aku kepada kawan-kawannya. Dan pastinya dia hanya memperkenalkan aku hanya sebagai kawan. Oleh kerana aku belum makan sejak dari pagi aku mengajak dia untuk menemani aku makan. Kami makan di KFC berdekatan. Aku sekadar order Chezzy Wedges dan air manakala dia cuma minum. Kami diam seribu bahasa. Ada sesekali aku mencuri pandang ke arah dia. Mencari kekuatan untuk memulakan perbualan.

"Dia dah ada orang lain ke?"

"Tak ada pun" jawab dia ringkas.

"Habis kenapa dia putuskan hubungan kita" tanya aku meminta penjelasan.

"Entah orang rasa lebih selesa begini" jawapan mudah dia beri sedang hati aku begitu kecewa.

Aku terdiam menghabiskan makanan yang ada dan kami berlalu. Beberapa kali kami pusing sekitar kedai-kedai dan saat jam hampir ke pukul 7 dia berkata, 

"Sat lagi tak payah tunggu orang dia balik terus tau. Balik naik apa ni? Jangan cakap balik naik bas sorang-sorang malam-malam ni" nampak seperti ambil peduli tapi mungkin sekadar kerana fitrah lelaki.

"Tak mau orang nak tengok dia pergi. Tak apa jangan risau orang balik lah macam mana pun."

"Jangan degil sangat boleh tak. Ini kalau ibu ayah tau dia datang macam ni apa pula kata depa." tinggi sedikit nada suaranya kali ini.

"Tak apa ibu tau. Boleh ya orang tengok sampai dia masuk dalam balai berlepas tu sat lagi. Lepas itu orang balik lah" aku masih mencuba nasib.

"Ikut suka hati lah. Orang nak pergi kat kawan orang dah." hampa sungguh hati aku.

"Nak pergi dah ke. Nak dekat azan ni kita solat dulu lah."

"Ok lepas sembahyang kita bawa haluan masing-masing." aku hanya diam dan mengikut kehendaknya.

Aku tahu dia sebenarnya tidak menyenangi kehadiran aku di sini. Kami berjalan mencari surau dan tiba di hadapan pintu surau dengan beberapa mata yang sedang memerhati dia berbisik,

"Kita sampai di sini sahaja lah. Orang minta maaf sebab tak dapat teruskan lagi. Minta maaf salah silap sepanjang perkenalan kita. Orang ada banyak lagi benda yang nak capai. Dia tak ada salah pun. Orang lebih selesa begini. Kita sampai di sini sahaja." kini aku tahu dia benar benar dengan keputusannya.

"Patutkah orang tunggu dia?" Entah kenapa ini yang keluar dari mulutku. 

"Tak payah tunggu" dan aku sedar yang dia benar-benar nekad kali ini.

          Kata-kata terakhir dia dengan raut wajah yang sukar untuk di tafsirkan lalu dia terus masuk ke dalam surau membiarkan aku tanpa sempat untuk aku berkata apa-apa atau mungkin ucapan selamat tinggal. Aku cuba menahan air mata dari jatuh dan menahan malu pada mata yang memandang terus masuk ke surau lalu menunaikan kewajipan aku.

          Setelah selesai aku keluar melihat kasut dia sudah tiada. Sungguh aku tahu semua ini sudah berakhir. Aku tetap juga mencari dia dalam keramaian orang. Namun hanya dari jauh. Dari jauh aku lihat senyuman dia bersama kawan-kawannya. Senyuman yang mungkin kali terakhir aku akan lihat. Aku tetap juga melihat dia berjalan masuk ke balai berlepas sehingga dia hilang dari pandangan aku. Air mata yang aku tahan sejak dari mula ke sini akhirnya jatuh jua mengalir dengan lajunya. Berlari aku ke satu sudut luar yang boleh melihat kapal terbang. Bermonolog aku sendiri, 

"Sebagaimana hari ini orang melepaskan dia pergi terbang jauh begitu juga orang melepaskan dia pergi dari hati ini."

        Bersama sedikit kekuatan yang tersisa aku melangkah pergi bersama air mata yang tidak mampu aku tahan lagi.












Wednesday, July 12, 2017

ramadan lepas

Bismillah.

Hari ini 19 syawal bermakna sudah 19 hari kita meninggalkan bulan ramadan yang penuh keindahan. Sungguh terasa rindu kerana ramadan tahun ini banyak sangat perkara yang nisak nak buat tak tercapai. Salah satunya menulis di blog ini lah. Sibuk menghabiskan kerja sebagai pembantu butik sebelum berundur melepaskan jawatan (nanti nisak cerita tentang ini untuk entri akan datang) dan kemudian sibuk membantu ibu menjahit tempahan untuk raya. Tolong tak banyak pun mungkin masih belum expert untuk menguruskan waktu sebaiknya. Semoga membantu juga lah apa yang nisak buat. Ramadan baru ini benar-benar cepat berlalu dengan keadaan diri yang tidak dapat berpuasa hampir separuh bulan membuatkan rasa begitu terkilan. Setiap kali saat menghayati dan mendengar lagu ramadan Maher Zain setiap kali itu juga terasa sebak dan mengalir air mata. Betapa banyak telah disia-siakan. Oh Allah sampaikan kami ke Ramadan tahun hadapan dan semoga kesempatan itu nanti dapat dimanfaatkan sebaiknya. Ramadan yang dirindui. 
Salam syawal.

nisakazhari, syawal sembilan belas  
0951