Thursday, July 13, 2017

cerpen satu - drama di lapangan terbang

          Pagi ini awal aku keluar meminta kakak dan abang ipar ku menghantar aku di stesen KTM Batu Tiga sebelum mereka ke pejabat. Dari situ aku terus naik komuter ke KL Sentral. Menunggu hampir lima jam di KL Sentral seorang diri sebelum menaiki bas ke KLIA 2. Sungguh aku nekad kali ini untuk berjumpa Mr A.

          Hampir dua minggu aku memikirkan cara bagaimana untuk aku berjumpa dia. Kalau nak ajak dia sah sah dia tidak akan bersetuju. Teringat dia akan ke Melbourne untuk urusan study terus dapat idea untuk datang ke KLIA 2 ini. Tanpa pengalaman ke KLIA menaiki pengangkutan awam, entah dari mana keberanian itu datang untuk menaiki bas seorang diri ke sana. Beberapa hari sebelum ini dah puas aku merujuk google cara untuk ke KLIA dari KL Sentral. Memandangkan dalam dompetku hanya ada sekeping note RM50 dan sekeping note RM20 yang tinggal untuk aku pulang ke kampung terpaksa memilih bas, tambang yang paling murah sebagai cara untuk ke sana.

          Lebih kurang jam dua petang tiba di KLIA. Aku pusing-pusing tanpa hala tuju sedang dalam hati mula rasa debaran. Menjamah makanan pun aku tidak lalu. Bermula dari KL Sentral lagi ada beberapa orang yang bertanya aku ingin ke mana. Mungkin hairan barangkali kerana aku sendirian dan hanya membawa beg kecil.

          Mr. A langsung tidak tahu akan kedatangan aku di sini. Aku cuma dapat tahu tarikh dia akan pergi sahaja. Waktu dia tiba KLIA dan waktu berlepas semua aku tidak tahu cuma ada mendapatkan sedikit maklumat dari seorang sahabat Mr. A yang sama-sama akan ke Melbourne hari ini itu pun sekadar melalui messenger FB. Setelah habis satu KLIA aku pusing dan waktu sudah hampir jam lima, hati mula risau dan gundah berkira-kira untuk bertanya sahabat Mr. A adakah mereka sudah sampai atau belum. Aku menaip mesej,

"Dah sampai ke?"

Ding! Mesej berbalas,

"Dah tapi flight jam 9.30pm" 

"Owh ok. Sekarang ada di mana?" aku meminta kepastian.

"Dekat dengan Baskin Robbins" hati aku mula rasa debaran yang amat sangat. Bermacam-macam perkara yang terlintas di fikiran. Dia akan marah tak, bagaimana reaksi dia nanti dan sebagainya.

        Aku yang memang berada di sekitar situ mula mencari-cari kelibat mereka yang dikatakan telah menunggu lama di satu laluan berhampiran. Mereka yang agak ramai membuatkan aku segan untuk menyapa lalu meminta sahabatnya menyuruh dia keluar dari laluan tersebut. Sungguh waktu ini aku benar-benar gundah. Debaran semakin laju.

          Setelah dua tahun kami tidak bertemu. Mr. A kini berada di hadapan mata aku. Orang yang aku sayang, orang yang aku terlalu rindu. Namun dia juga orang yang telah melukakan hati ini. Berdiri dia di hadapan aku ini bukan untuk melepaskan rindu, bukan juga untuk rasa bahagia. Namun cuma untuk aku memuaskan hati ini mendengar sendiri kata putus yang telah dia hantar melalui whatsapp dua minggu yang lalu sebelum aku di block.

          Sungguh apa-apa pun keputusan dia hari ini aku cuba untuk terima. Pada awalnya masing-masing terasa janggal seolah kali pertama berjumpa dan dia sungguh terkejut pastinya. Aku menghulurkan bungkusan yang terisi biskut Shortbread kegemaran dia sebagai hadiah hari lahirnya yang baru berlalu. Bertungkus lumus aku buat semalam cuba buat cara yang paling mudah. Dua kali juga mencuba kerana tidak menjadi. Semuanya untuk dia. Kerana di satu sudut dalam hati ini aku masih berharap ada sinar harapan hari ini.

          Pada awalnya kami seperti biasa bertanya khabar dan dia memperkenalkan aku kepada kawan-kawannya. Dan pastinya dia hanya memperkenalkan aku hanya sebagai kawan. Oleh kerana aku belum makan sejak dari pagi aku mengajak dia untuk menemani aku makan. Kami makan di KFC berdekatan. Aku sekadar order Chezzy Wedges dan air manakala dia cuma minum. Kami diam seribu bahasa. Ada sesekali aku mencuri pandang ke arah dia. Mencari kekuatan untuk memulakan perbualan.

"Dia dah ada orang lain ke?"

"Tak ada pun" jawab dia ringkas.

"Habis kenapa dia putuskan hubungan kita" tanya aku meminta penjelasan.

"Entah orang rasa lebih selesa begini" jawapan mudah dia beri sedang hati aku begitu kecewa.

Aku terdiam menghabiskan makanan yang ada dan kami berlalu. Beberapa kali kami pusing sekitar kedai-kedai dan saat jam hampir ke pukul 7 dia berkata, 

"Sat lagi tak payah tunggu orang dia balik terus tau. Balik naik apa ni? Jangan cakap balik naik bas sorang-sorang malam-malam ni" nampak seperti ambil peduli tapi mungkin sekadar kerana fitrah lelaki.

"Tak mau orang nak tengok dia pergi. Tak apa jangan risau orang balik lah macam mana pun."

"Jangan degil sangat boleh tak. Ini kalau ibu ayah tau dia datang macam ni apa pula kata depa." tinggi sedikit nada suaranya kali ini.

"Tak apa ibu tau. Boleh ya orang tengok sampai dia masuk dalam balai berlepas tu sat lagi. Lepas itu orang balik lah" aku masih mencuba nasib.

"Ikut suka hati lah. Orang nak pergi kat kawan orang dah." hampa sungguh hati aku.

"Nak pergi dah ke. Nak dekat azan ni kita solat dulu lah."

"Ok lepas sembahyang kita bawa haluan masing-masing." aku hanya diam dan mengikut kehendaknya.

Aku tahu dia sebenarnya tidak menyenangi kehadiran aku di sini. Kami berjalan mencari surau dan tiba di hadapan pintu surau dengan beberapa mata yang sedang memerhati dia berbisik,

"Kita sampai di sini sahaja lah. Orang minta maaf sebab tak dapat teruskan lagi. Minta maaf salah silap sepanjang perkenalan kita. Orang ada banyak lagi benda yang nak capai. Dia tak ada salah pun. Orang lebih selesa begini. Kita sampai di sini sahaja." kini aku tahu dia benar benar dengan keputusannya.

"Patutkah orang tunggu dia?" Entah kenapa ini yang keluar dari mulutku. 

"Tak payah tunggu" dan aku sedar yang dia benar-benar nekad kali ini.

          Kata-kata terakhir dia dengan raut wajah yang sukar untuk di tafsirkan lalu dia terus masuk ke dalam surau membiarkan aku tanpa sempat untuk aku berkata apa-apa atau mungkin ucapan selamat tinggal. Aku cuba menahan air mata dari jatuh dan menahan malu pada mata yang memandang terus masuk ke surau lalu menunaikan kewajipan aku.

          Setelah selesai aku keluar melihat kasut dia sudah tiada. Sungguh aku tahu semua ini sudah berakhir. Aku tetap juga mencari dia dalam keramaian orang. Namun hanya dari jauh. Dari jauh aku lihat senyuman dia bersama kawan-kawannya. Senyuman yang mungkin kali terakhir aku akan lihat. Aku tetap juga melihat dia berjalan masuk ke balai berlepas sehingga dia hilang dari pandangan aku. Air mata yang aku tahan sejak dari mula ke sini akhirnya jatuh jua mengalir dengan lajunya. Berlari aku ke satu sudut luar yang boleh melihat kapal terbang. Bermonolog aku sendiri, 

"Sebagaimana hari ini orang melepaskan dia pergi terbang jauh begitu juga orang melepaskan dia pergi dari hati ini."

        Bersama sedikit kekuatan yang tersisa aku melangkah pergi bersama air mata yang tidak mampu aku tahan lagi.












No comments: